Wanita PBB Perkukuh Perpaduan, Sokong Agenda Pembangunan Sarawak
KUCHING: Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berlangsung pada Jumaat di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat PBB, di sini, menjadi medan penting memperkukuh peranan wanita dalam landskap politik Sarawak serta menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Kerajaan Sarawak.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah, itu turut membincangkan perkembangan keahlian Wanita PBB yang terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan saban tahun.
Menurut beliau, setakat 5 Februari 2026, keahlian Wanita PBB merekodkan seramai 181,850 orang, dengan peningkatan lebih 1,000 ahli berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan sokongan wanita terhadap parti semakin kukuh dan signifikan.
Beliau berkata, peningkatan berterusan keahlian Wanita PBB membuktikan bahawa suara dan peranan wanita semakin penting, selain memiliki kekuatan, kebijaksanaan serta naluri tersendiri dalam kepimpinan.
Mengulas mengenai kemungkinan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa hadapan, Naib Ketua Wanita PBB, Datuk Sharifah Hasidah Binti Sayeed Aman Ghazali, menegaskan bahawa Wanita PBB sentiasa bersedia dan menyokong sebarang keputusan parti yang dibuat secara bijaksana demi kepentingan Sarawak secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan kepimpinan Premier Sarawak dalam mengurus hal ehwal negeri termasuk tuntutan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kita telah menyaksikan banyak kejayaan termasuk peningkatan dana negeri hasil daripada perjuangan mempertahankan hak Sarawak. Ini membuktikan strategi dan pendekatan Kerajaan Sarawak adalah tepat dan berkesan,” ujar Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang naratif negatif atau cubaan memecah-belahkan hubungan antara negeri hanya akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat Sarawak.
“Kami tidak mahu Premier berjalan bersendirian. Kami bergerak sebagai satu pasukan. Apa sahaja serangan atau naratif negatif hanya akan menjadikan kami lebih bersatu padu demi Sarawak,” tambah Dato Sri Fatimah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua cawangan dan ranting Wanita PBB agar terus bersiap siaga, bersatu padu serta berdisiplin dalam melaksanakan amanah parti demi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. — EDISI UKAS