KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menganjurkan konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada 19 April depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen pertama sejak penubuhan GPS pada 2019 itu akan memberi tumpuan kepada pencapaian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Wakil-wakil daripada keempat-empat parti komponen GPS akan dijemput menghadiri konvensyen ini, namun jumlah perwakilan masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak pada Sabtu.
Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Alexander turut memaklumkan, satu jawatankuasa induk akan ditubuhkan bagi memastikan kelancaran penganjuran konvensyen tersebut yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, jawatan timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan akan disandang oleh presiden-presiden parti komponen GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.-EDISI UKAS