KMKK Perlu Urus Tadbir Berlandaskan Garis Panduan Kerajaan
SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa mengurus institusi masing-masing mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh agensi kerajaan bagi memastikan peranan mereka kekal berkesan dan disegani masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, pematuhan terhadap garis panduan tersebut penting supaya institusi KMKK dapat berfungsi secara teratur, telus dan berintegriti dalam kawasan tadbir masing-masing.
"KMKK harus mengadakan mesyuarat dan aktiviti yang boleh memberi faedah kepada komuniti di samping menyediakan laporan sebagai bukti bertulis kepada pihak Pejabat Daerah.
"Mereka juga harus menerangkan penggunaan perbelanjaan terhadap agensi kerajaan dan masyarakat sebagai bukti ketelusan dan integriti KMKK dalam kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di sini, pada Jumaat.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menegaskan peranan penting institusi KMKK sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Sarawak dan komuniti masyarakat di peringkat akar umbi.
"Kerajaan Sarawak amat memerlukan kehadiran KMKK dalam menyebar dasar pembangunan semasa yang dilihat boleh menyumbang kepada proses pembangunan komuniti masyarakat di negeri ini.
"Justeru, saya berharap agar KMKK dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh berdedikasi untuk masyarakat demi memakmurkan lagi proses pembangunan negeri ini di bawah teraju oleh kerajaan Sarawak," ujarnya.
Terdahulu, majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Simanggang itu menyaksikan empat Ketua Masyarakat dan 39 Ketua Kaum dilanjutkan tempoh perkhidmatan, serta pelantikan empat Ketua Kaum baharu dan seorang waris mantan Ketua Kaum turut menerima sijil penghargaan.
Hadir sama semasa majlis ini ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Temenggong Leonard Libau Anol, Pemanca Lee Shiang Hua, para wakil Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan kakitangan Pejabat Daerah Sri Aman.-EDISI UKAS