Zon Utara Dominasi Separuh Akhir Ping Pong SUKSAR IV 2026
SRI AMAN: Kontinjen Zon Utara mempamerkan prestasi mantap dengan menguasai kesemua kategori dalam saingan ping pong Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 sekali gus mengesahkan tempat ke pentas akhir esok
Perlawanan yang bermula seawal jam 8 pagi itu menyaksikan barisan atlet Zon Utara tampil konsisten dan berdisiplin sepanjang saingan separuh akhir bagi memastikan dominasi mereka kekal hingga ke penentuan akhir.
Bagi kategori Perseorangan Wanita, Andrey Hon Jing Wen dari Zon Selatan bakal berdepan Ava Tiong Yu Jie dari Zon Utara dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, kategori Perseorangan Lelaki akan mempertemukan Yip Wei Rong dari Zon Barat menentang Raphael Wong Lin Xuan dari Zon Utara, sekali gus bakal menyajikan pertembungan sengit dua atlet berpengalaman.
Dalam acara Beregu Wanita, pasangan Ava Tiong dan Kong Zhi Qin dari Zon Utara akan berdepan cabaran pasangan Joanne Wong dan Enno Bong dari Zon Barat.
Saingan Beregu Lelaki pula menyaksikan pasangan adik-beradik Gabriel Yong dan Raphael Yong dari Zon Utara bakal menguji gandingan Jason Wong dan Yip Wei Rong dari Zon Barat.
Manakala, Beregu Campuran dijangka menjadi tumpuan apabila pasangan Raphael Wong dan Josyne Ngu bakal bertemu rakan sepasukan mereka, Gabriel Yong dan Kong Zhi Qin, dalam perlawanan akhir kelak.
Segala tumpuan kini terarah kepada hari kemuncak esok, 8 Februari, bagi penentuan pingat emas bagi kesemua kategori acara Ping Pong SUKSAR IV 2026.-EDISI UKAS