Peruntukan UNIFOR Pastikan Pembinaan Gereja St Cosmas Siap, Manfaat Penduduk Pasir Tengah
LUNDU: Penyaluran peruntukan Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM250,000 diyakini dapat memastikan pembinaan Gereja St Cosmas di Kampung Pasir Tengah disiapkan sepenuhnya sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menyempurnakan penyerahan cek peruntukan tersebut kepada pihak gereja pada Jumaat, melibatkan fasa kedua pembinaan rumah ibadat berkenaan.
Menurut Billy Sujang, peruntukan itu bukan sahaja bertujuan mempercepatkan penyiapan bangunan gereja, malah memastikan kemudahan berkenaan dapat digunakan sepenuhnya oleh komuniti Kristian di Kampung Pasir Tengah sebagai pusat ibadat dan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya berharap penyaluran peruntukan ini dapat membantu menyiapkan pembinaan Gereja St Cosmas sepenuhnya dan seterusnya memberi keselesaan serta manfaat jangka panjang kepada penduduk di sini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk membantu menampung sebarang kekurangan dana sekiranya diperlukan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) atau Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Sementara itu, Pengerusi Gereja St Cosmas, Peter Bojeng merakamkan penghargaan kepada Billy Sujang atas usaha berterusan membantu pihak gereja mendapatkan peruntukan UNIFOR, yang disifatkan amat bermakna dalam merealisasikan pembinaan gereja tersebut setelah melalui pelbagai cabaran sebelum ini.
Majlis ringkas itu turut dihadiri Pemanca Allen Manium Enggang, Penghulu Kutong Enggang, Ketua Kaum Kampung Pasir Tengah, David Merson serta Pengerusi KGK Gereja St Cosmas bersama ahli jawatankuasanya.
— EDISI UKAS