Badang Zon Utara Perkukuh Dominasi Pada Hari Terakhir Angkat Berat Lelaki SUKSAR
BETONG: Dominasi atlet Zon Utara terus terserlah apabila mereka menutup tirai acara angkat berat lelaki Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 dengan cemerlang pada hari terakhir pertandingan yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap, di sini, pada Sabtu.
Saingan terakhir menyaksikan pertandingan bagi kategori tidak melebihi 98 kilogram dan melebihi 110 kilogram dalam disiplin ‘snatch’ serta ‘clean and jerk’ sekali gus melengkapkan keseluruhan jadual acara angkat berat lelaki SUKSAR edisi kali ini.
Bagi kategori tidak melebihi 98 kilogram, seramai lima atlet berentap terdiri daripada dua wakil Zon Utara, dua Zon Tengah dan seorang dari Zon Selatan.
Sementara itu, kategori melebihi 110 kilogram pula disertai empat atlet, masing-masing dua wakil Zon Utara dan Zon Tengah.
Suasana di Dewan Panglima Rentap kekal meriah dengan sorakan padu para penyokong yang setia memberikan dorongan kepada atlet bertanding, meskipun ia merupakan hari terakhir acara.
Dalam kategori lelaki 98 kilogram, atlet Zon Utara, Chrysler Daring Drefin, tampil cemerlang apabila menyapu bersih pingat emas dalam kedua-dua disiplin selepas mencatat angkatan 90 kilogram dalam ‘snatch’ dan 115 kilogram dalam ‘clean and jerk’.
Pingat perak dimenangi oleh Elyroven Julvin dari Zon Tengah, manakala pingat gangsa menjadi milik Abraham Kalai Sylvester Tading, juga dari Zon Tengah.
Sementara itu, kategori lelaki melebihi 110 kilogram menyaksikan penguasaan mutlak Zon Utara apabila Muhammad Afiq Hasif Matassan muncul juara dengan angkatan terbaik 90 kilogram dalam ‘snatch’ dan 110 kilogram dalam ‘clean and jerk’ untuk meraih pingat emas.
Rakan sepasukannya, Muhammad Farid Akhbar Rakhawi, turut menyumbang pingat perak, manakala pingat gangsa dimenangi oleh wakil Zon Tengah, Austine Kilat Toni. -EDISI UKAS