Zon Selatan Tempah Slot Final Bola Keranjang SUKSAR IV 2026
SRI AMAN: Pasukan lelaki Zon Selatan meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya menewaskan pasukan Zon Tengah 76–70 sekali gus mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir acara bola keranjang Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 di Mini Stadium Sri Aman, pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan agresif dan saling berbalas jaringan sejak awal permainan, sekali gus mencetuskan suasana hangat dalam kalangan penonton.
Ketenangan serta taktikal berkesan yang diterapkan oleh pasukan Zon Selatan pada suku terakhir permainan menjadi faktor penentu kemenangan apabila mereka berjaya mengawal tempo perlawanan sehingga tamat wisel penamat.
Kejayaan tersebut membolehkan pasukan lelaki Zon Selatan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Mini Stadium Sri Aman esok bermula jam 8.00 pagi.- EDISI UKAS