Majlis Penghargaan Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Miri Eratkan Kerjasama Strategik
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menganjurkan Miri City Day 20th Anniversary Appreciation Dinner & Chinese New Year Celebration 2026 dalam suasana penuh kemesraan di Piasau Boat Club, di sini, pada Jumaat.
Ia diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 pengisytiharan Miri sebagai bandar raya, sekali gus diraikan bersama sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bagi menghargai semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan sambutan Miri City Day.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, majlis tersebut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan tulus kepada semua rakan strategik, penaja, agensi serta warga kerja MBM yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Menurut beliau, ulang tahun ke-20 itu bukan sekadar tarikh simbolik, sebaliknya mencerminkan kemajuan pesat bandar raya Miri hasil usaha kolektif masyarakat dan pelbagai pihak yang sentiasa bekerjasama membangunkan bandar raya tersebut.
Tambahnya, kejayaan penganjuran sambutan tersebut membuktikan kekuatan semangat kerja berpasukan, koordinasi berkesan serta komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.
Beliau turut yakin hubungan kerjasama yang terjalin akan terus memperkukuh pembangunan Miri pada masa hadapan, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah kemajuan yang lebih gemilang.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad, Timbalan Setiausaha MBM Patrick Linggie Taboh, Pengerusi Pengelola Majlis Kaunselor Leslie Lau Ik Chie serta wakil sektor korporat, agensi kerajaan dan ahli-ahli Majlis Bandaraya Miri.-EDISI UKAS