MIRI: Junior Chamber International (JCI) Miri terus mengukuhkan legasi kepimpinan belia apabila menganjurkan Majlis Pelantikan dan Jamuan Makan Tengah Hari Anugerah ke-64 JCI Miri 2026 bertemakan “Rise Up (Bangkit)” di Jinhold Hotel, di sini pad Sabtu.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin yang menekankan bahawa JCI bukan sekadar pertubuhan belia, sebaliknya sebuah “kilang melahirkan pemimpin” berteraskan nilai khidmat, tanggungjawab dan integriti.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian 64 tahun penubuhan JCI Miri dan menyifatkan keupayaan organisasi belia itu kekal relevan selama lebih enam dekad sebagai pencapaian luar biasa yang mencerminkan kesinambungan kepimpinan serta komitmen ahli terhadap masyarakat.
Sebagai Senator JCI, beliau turut berkongsi pengalaman peribadi bahawa kepimpinan menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kesediaan untuk turun padang menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, kejayaan kepimpinan tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya perlu didukung semangat kerja berpasukan dan sokongan antara satu sama lain.
Beliau turut menggesa golongan belia, khususnya ahli JCI di Sarawak, agar bersedia memikul tanggungjawab masa depan negeri selaras usaha kerajaan membangunkan ekonomi digital, ekonomi hijau dan industri berimpak tinggi, selain memuji inisiatif program berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dilaksanakan JCI.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan usaha kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif pengangkutan awam pintar seperti Bas Pintar Percuma Miri yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, kesesakan lalu lintas serta meringankan kos sara hidup rakyat.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penganugerahan Senator JCI kepada Michael Yii, mantan Presiden JCI Miri sebagai pengiktirafan tertinggi atas dedikasi dan sumbangan berterusan beliau kepada organisasi dan masyarakat.
Pada majlis sama, Steven Wee Ee Ming secara rasmi dilantik sebagai Presiden JCI Miri bagi sesi 2026, menggantikan Sam Yong Chuen Nean, sekali gus menandakan permulaan lembaran baharu kepimpinan organisasi itu.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan JCI peringkat kebangsaan dan Sarawak serta ahli-ahli dari seluruh negara, mencerminkan semangat persaudaraan dan sokongan padu komuniti JCI.
Dengan semangat ‘Rise Up’, JCI Miri diyakini terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin muda berwawasan, berdaya saing dan bersedia memacu pembangunan masyarakat serta negara.-EDISI UKAS