SUKSAR IV 2026 Labuhkan Tirai Esok, Raptai Majlis Penutupan Berjalan Lancar
SRI AMAN: Selepas bersaing sengit selama lima hari di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu, temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 bakal melabuhkan tirainya pada Ahad.
Ketika ini, persiapan untuk majlis penutupan yang akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman sedang rancak dilaksanakan oleh penganjur.
Bagi memastikan kelancarannya, raptai penuh majlis penutupan telah diadakan pada Sabtu dengan dipantau oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi serta tetamu lain.
Menurut Mahra, beliau berpuas hati dengan perjalanan persiapan untuk majlis penutupan esok.
"Untuk majlis penutupan pada petang esok, kita ada menyediakan slot untuk penyampaian Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan dan juga juara keseluruhan kontinjen yang menang dalam SUKSAR kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada sesi raptai penuh Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Ari Aman pada Sabtu.
Mahra menambah, majlis penutupan SUKSAR IV 2026 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dijangka dihadiri oleh barisan pemimpin negeri serta wakil rakyat setempat yang lain.
SUKSAR IV 2026 yang bermula dari 5 hingga 8 Februari mempertandingkan 11 jenis sukan dengan mempertaruhkan keseluruhan 345 pingat.
Selain menjadi medan mengasah bakat dan pencarian atlet pelapis, temasya dwitahunan itu juga menjadi platform pemilihan atlet untuk mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor, Ogos ini. - EDISI UKAS