THAILAND: Delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, telah mengadakan lawatan rasmi ke Sook Siam @ ICONSIAM, di Bangkok bagi meninjau model peruncitan bersepadu bertaraf antarabangsa.
Lawatan tersebut bertujuan memahami pendekatan pembangunan holistik yang dilaksanakan oleh ICONSIAM, sebuah kompleks peruncitan ikonik yang menghubungkan produk, seni dan budaya tempatannya dengan pasaran global serta berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi termasuk sektor pelancongan.
Delegasi telah menerima taklimat daripada Perunding ICONSIAM Company Limited, Parisa Chatnilbandhu, mengenai peranan ICONCRAFT sebagai ruang kurasi khusus bagi memasarkan produk komuniti, usahawan tempatan dan pengusaha kraftangan secara profesional dan berimej premium.
Menurut Datuk Rosey, elemen inovasi dan kreativiti yang diterapkan oleh ICONSIAM, termasuk penjenamaan berasaskan penceritaan budaya, pembaharuan reka bentuk produk serta penggunaan teknologi digital, merupakan antara faktor utama kejayaan kompleks berkenaan menembusi pasaran antarabangsa.
Jelasnya lanjut, model pengurusan ICONSIAM yang bertindak sebagai pemudah cara kepada usahawan serta menyediakan akses pasaran yang berstruktur dan berterusan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berpotensi dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa usahawan wanita di Sarawak.-EDISI UKAS