Pengagihan Kalendar dan Limau Mandarin Meriahkan Pasar Tamu Bintangor
BINTANGOR: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing, bersama Datin Kueh Nai Fun, mengadakan program pengagihan kalendar, kad Tahun Baharu Cina (CNY) serta limau mandarin kepada peniaga dan pengunjung di Pasar Tamu Bintangor, di sini, hari ini.
Program turun padang yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang hadir untuk menjalankan urusan jual beli, sekali gus memeriahkan suasana pasar menjelang musim perayaan.
Menurut Datuk Ding, pengagihan kalendar, kad CNY dan limau mandarin tersebut merupakan simbolik ucapan Selamat Tahun Baharu Cina, di samping membawa harapan agar tahun yang mendatang dipenuhi kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian kepada seluruh masyarakat, khususnya di kawasan Meradong.
Beliau berkata, program seumpama itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan perayaan, malah menjadi platform terbaik untuk berinteraksi secara langsung dengan peniaga dan penduduk setempat, selain mendengar pandangan serta memahami isu-isu di peringkat akar umbi.
“Pasar Tamu Bintangor merupakan antara nadi ekonomi komuniti setempat. Justeru, usaha mendekati peniaga kecil dan pengunjung pasar perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan serta pembangunan sosioekonomi mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Sementara itu, Datin Kueh Nai Fun turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung sambil menyampaikan ucapan perayaan serta kata-kata semangat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Program tersebut turut disertai barisan kepimpinan Parti SUPP Cawangan Bintangor, termasuk Naib Pengerusi, Bendahari, Ketua Pergerakan Wanita, Bendahari Pergerakan Pemuda serta ahli-ahli parti.
Secara keseluruhan, program berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni, mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Bintangor, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama peniaga dan pengunjung.- EDISI UKAS