Inisiatif Kebajikan Terus Disantuni Sempena Tahun Baharu Cina di Betong
BETONG: Komitmen berterusan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong dalam membantu masyarakat setempat terus terserlah apabila menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Cina Sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, di sini, pagi Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Seramai 33 orang penerima dari kawasan Betong menerima sumbangan berupa sekotak limau mandarin dan wang tunai RM100 sebagai persediaan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Berucap pada majlis itu, Datuk Gerald Rentap Jabu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, Chan Chu Chu serta seluruh jawatankuasa atas komitmen konsisten menganjurkan program kebajikan tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, pertubuhan tersebut merupakan contoh terbaik organisasi masyarakat Cina yang aktif membantu komuniti setempat setiap kali musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat majmuk di Betong.
“Walaupun diasaskan oleh masyarakat Cina, namun pelaksanaan program kebajikan yang merentasi kaum dan agama menjadi kekuatan sebenar perpaduan rakyat di Betong,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap komuniti Cina di Betong yang telah menyambut ulang tahun ke-100 Tokong Cina Betong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Betong pada tahun lalu, yang menjadi simbol keharmonian berpanjangan selama satu abad.
Pada masa sama, beliau mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina serta berharap Tahun Kuda Emas yang bakal menjelang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat di Betong.
Sementara itu, Dato Dr Richard Rapu, dalam ucapannya menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program kemasyarakatan seumpama ini yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurut beliau, pihaknya telah menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada Januari lalu bagi membantu pelaksanaan aktiviti pertubuhan berkenaan, di samping menyifatkan sumbangan hari ini sebagai pelengkap kepada pelbagai inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Terdahulu, pertubuhan sama telah menyalurkan sumbangan serupa kepada lapan orang penerima di Spaoh, 14 orang di Debak dan 12 orang di Pusa, sekali gus mencerminkan usaha berterusan pertubuhan itu dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat.
Majlis turut dihadiri Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup, Temenggung Masyarakat Cina Bahagian Betong, Temenggung Kueh Tu Teck, serta Kapitan Cina Pekan Betong, Kapitan Own Chin Joo.- EDISI UKAS