Majlis Kasih Bertaut Hargai Jasa Warga Pendidik SK Kampung Pangtray
SIBU: Sumbangan dan jasa bakti warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray, Daro, dihargai menerusi penganjuran Majlis Kasih Bertaut, Jasa Tersemat yang berlangsung malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, dan dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada warga sekolah serta komuniti setempat.
Majlis berkenaan diadakan bersempena persaraan Guru Besar SK Kampung Pangtray, Cikgu Buang Maharup, selain majlis perpisahan Cikgu Samerin Jamiludin yang akan berpindah bertugas ke SK Hijrah Badong, Daro.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie merakamkan penghargaan atas dedikasi dan komitmen kedua-dua pendidik tersebut yang telah menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan pembentukan sahsiah murid di sekolah berkenaan.
Beliau berkata jasa dan pengorbanan para pendidik wajar dihargai kerana memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Majlis itu turut dihadiri guru-guru, kakitangan sekolah, guru KAFA serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekali gus mencerminkan sokongan padu komuniti terhadap peranan warga pendidik. — EDISI UKAS