Sarawak Kukuh Kedudukan Sektor Tenaga, Kurang Kebergantungan Bahan Api Fosil
KUCHING: Sarawak kini berada pada kedudukan yang kukuh dalam sektor tenaga susulan peralihan strategik kepada tenaga hijau, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil seperti diesel.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, langkah awal yang diambil kerajaan Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga alternatif telah memberi kelebihan besar kepada negeri itu ketika berdepan ketidaktentuan bekalan dan harga petroleum global.
Menurut beliau, Sarawak kini memperoleh kira-kira 60 peratus penjanaan tenaga daripada sumber hidro, selain turut disokong oleh tenaga solar, gas dan arang batu.
“Dengan pandangan jauh kepimpinan Sarawak telah beralih kepada tenaga hijau lebih awal. Ini menjadikan kedudukan tenaga negeri lebih stabil dan selesa berbanding kawasan lain,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kampung Semariang Batu pada Sabtu.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, pendekatan tersebut bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan tenaga domestik, malah menyokong perkembangan sektor perniagaan dan industri di negeri ini.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa bekalan petroleum termasuk diesel masih berada di bawah kawal selia Petronas, dengan jaminan bekalan akan terus diusahakan mengikut keperluan semasa.
Namun, beliau mengingatkan bahawa faktor kos tetap menjadi cabaran sekiranya bekalan perlu diperoleh dari luar negara, berikutan peningkatan harga global serta kos logistik ke Malaysia Timur.
Berbeza dengan Sarawak, Datuk Amar Fadillah berkata Sabah masih berdepan cabaran kerana kebergantungan tinggi terhadap diesel untuk penjanaan tenaga, sekali gus terdedah kepada turun naik harga dan kekangan bekalan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa model pembangunan tenaga hijau Sarawak wajar dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga di peringkat nasional.
“Pendekatan tenaga hijau bukan sahaja menjamin bekalan jangka panjang, malah membantu menstabilkan ekonomi serta meningkatkan daya tahan negeri dalam menghadapi cabaran global,” ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan akan terus memantau keseluruhan rantaian bekalan tenaga bagi memastikan kestabilan dan kecukupan bekalan di seluruh negara.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier SARAWAK (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta tetamu jemputan lain-EDISI UKAS