JKM Sarawak Terus Prihatin Santuni Golongan Memerlukan di Lawas
LAWAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak terus menzahirkan komitmen dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan menerusi penganjuran Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Lawas, pada Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun perayaan yang disambut.
Seramai 108 penerima terdiri daripada klien bantuan bulanan JKM, warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, penjaga pesakit terlantar serta penerima Bantuan Am Negeri menerima sumbangan pada majlis berkenaan, sekali gus membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
Dalam ucapannya, Datuk Henry menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat dan komited memastikan golongan memerlukan terus diberikan perhatian serta bantuan yang sewajarnya secara berterusan.
“Kerajaan sentiasa mempedulikan kebajikan rakyat tanpa mengira masyarakat dan perayaan yang diraikan. Bantuan dan inisiatif akan terus disalurkan agar golongan memerlukan tidak terpinggir,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat di Lawas agar memainkan peranan dan tanggungjawab bersama dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik di samping sentiasa mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan.
Dalam pada itu, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menceriakan penerima bantuan, malah memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Turut hadir Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Limbang, Abang Ahmad Ibrahim Abang Abdul Rahman, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Wakil Residen Bahagian Limbang, Jaenly Marten serta Pemanca Tan Yong H’ng.-EDISI UKAS