Lebih 700 Penduduk Jayakan Gotong Royong, Perkasa Budaya Prihatin dan Kesiapsiagaan Komuniti
SEBAUH: Penyertaan lebih 700 penduduk dalam Program Gotong-Royong Perdana Daerah Sebauh 2026 mencerminkan semangat kerjasama tinggi masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja tertumpu kepada usaha membersihkan kawasan awam, khususnya di Pasar Sebauh, malah menjadi platform membentuk komuniti yang bersatu, berdisiplin serta sentiasa peka terhadap aspek keselamatan.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang direkodkan mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang tinggi terhadap kepentingan bekerjasama demi kesejahteraan bersama.
“Program gotong-royong ini bukan hanya untuk memastikan kebersihan kawasan, tetapi juga bagi memupuk semangat perpaduan serta kesiapsiagaan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Perdana Daerah Sebauh 2026 anjuran Pejabat Daerah Sebauh dengan kerjasama One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIOS) Daerah Sebauh, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Sebauh di Balai Raya Sebauh, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Rundi menegaskan bahawa amalan gotong-royong mampu membentuk komuniti yang lebih prihatin dan bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti banjir dan kebakaran, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap potensi risiko bencana, termasuk bahaya kebakaran akibat pendawaian elektrik lama yang tidak diselenggara dengan baik.
“Banjir memang berlaku setiap tahun, jadi kita perlu sentiasa bersedia. Selain itu, terdapat juga risiko kebakaran akibat pendawaian lama yang tidak mampu menampung arus elektrik. Jika tidak dijaga dengan baik, ia boleh mendatangkan bahaya,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar menutup bekalan elektrik semasa berlaku banjir bagi mengelakkan kejutan elektrik serta kejadian tidak diingini.
Dalam masa sama, beliau menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua-ketua rumah agar mengenal pasti potensi bahaya di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan awal, selain menyalurkan sebarang isu keselamatan melalui saluran yang betul kepada wakil rakyat atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Tambah beliau, budaya gotong-royong wajar diteruskan sebagai medium memperkukuh jaringan kerjasama masyarakat, meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan serta membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan, Pegawai UKAS Bahagian Bintulu Jerida Andin serta Temenggong Limin Anai.-EDISI UKAS