SIMANGGANG: Pasukan tuan rumah, Zon Barat dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara petanque pada Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, yang melabuhkan tirai di sini, pada Ahad.
Sejak saingan bermula pada 5 Februari, Zon Barat berjaya mengumpul tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus menewaskan cabaran Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.
Zon Utara muncul naib juara selepas meraih dua emas, tiga perak dan satu gangsa, manakala Zon Selatan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan dua emas dan tiga perak.
Zon Tengah pula berada di kedudukan keempat dengan pungutan empat gangsa.
Sementara itu, acara beregu campuran yang menjadi penutup pertandingan menyaksikan pasangan Zon Utara, Mohamad Iqbal Zikir Naini dan Nooralisya Aliyanie Abdullah, muncul juara.
Kedudukan naib juara pula disandang pasangan Awang Adi Adam Awang Sukiman dan Ain Afzan Aisyah Ezlan dari Zon Selatan, manakala kedudukan tempat ketiga pula diperoleh pasangan Amir Fahim Abdul Azizi dan Jennifer Laura Richard Dickson dari Zon Tengah.
Penyampaian hadiah acara tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dzulkornain Masron dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Arena Petanque, Kompleks Sukan Sri Aman.
Hadir sama Presiden Persatuan Sukan Boules Sarawak, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman dan pengerusi pengelola program, Andrea Bruni.-EDISI UKAS