Penduduk Kampung Tambirat Tradisi Jayakan Program Kelestarian Alam Sekitar
ASAJAYA: Penduduk Kampung Tambirat Tradisi berganding bahu menjayakan Program Kelestarian Alam Sekitar menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan pada Ahad bagi memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih, selamat dan terpelihara.
Program berkonsepkan kesukarelawanan itu melibatkan kerja-kerja pembersihan sistem perparitan, pembersihan semak samun, kutipan sisa kitar semula serta pengindahan kawasan tumpuan awam sekitar kampung.
Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan mencegah pembiakan vektor penyakit, malah memperkukuh semangat perpaduan apabila penglibatan bersepadu golongan belia dan warga emas berjaya merapatkan hubungan antara generasi serta menyemai semula nilai murni kejiranan.
Keunikan program kali ini jelas terpancar menerusi pembahagian tugas secara sistematik mengikut lorong, di mana setiap kelompok keluarga bekerjasama memastikan kawasan kediaman dan fasiliti awam berada dalam keadaan terbaik.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi jamuan ringan yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat, sekali gus mengeratkan ukhuwah dan semangat muafakat dalam kalangan komuniti Kampung Tambirat Tradisi.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Kampung Tambirat Hilir Sulaiman Lee dan Pengerusi Surau Darul Jannah Kampung Tambirat Hilir Yusuf Uni.-EDISI UKAS