Walkabout TBC 2026 Eratkan Perpaduan, Perkukuh Silaturahim Masyarakat Simunjan
SIMUNJAN: Program Walkabout sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) 2026 menjadi platform terbaik bagi pemimpin turun padang dan beramah mesra secara langsung dengan masyarakat akar umbi di daerah ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, inisiatif tahunan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Masyarakat Cina dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong itu bertujuan mengukuhkan silaturahim serta menzahirkan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dalam komuniti setempat.
“Program ini membolehkan kami mendekati masyarakat serta meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama penduduk berbilang kaum dan agama dalam suasana harmoni,” katanya semasa berucap pada program tersebut di sini, pada Ahad.
Rodiyah berkata, simbol Tahun Kuda bagi tahun 2026 membawa maksud semangat bekerja keras, keberanian dan tekad untuk terus maju, selari dengan usaha membangunkan masyarakat yang bersatu padu dan sejahtera.
Menyentuh landskap politik semasa, beliau turut menggesa pemimpin akar umbi termasuk JKKK dan ahli majlis supaya terus mempertingkatkan kerjasama serta memperkukuh perpaduan, memandangkan Sarawak bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam majlis sama, Rodiyah turut menyampaikan sumbangan buah limau mandarin kepada 206 keluarga, serta bakul makanan dan angpau kepada 47 penerima terdiri daripada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta golongan memerlukan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan cek dana aktiviti tahunan yang berjumlah RM19,000 kepada JKKK Terasi Cina, JKKK Gunung Ngeli dan JKKK Pasar Simunjan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris bersama isteri Napsiah Abang Kaderi, wakil Pegawai Daerah Simunjan Melinda James, Pemanca Liew Wui Tchiun; Penghulu Ahmad Dol Simpol; Kapitan-Kapitan, Ketua-Ketua Kaum serta kaunselor-kaunselor tempatan.-EDISI UKAS