Orang Ramai Diingatkan Lebih Peka Kesihatan Diri, Ancaman NCD Terus Meningkat
SARIKEI: Orang ramai khususnya masyarakat pesisir di Sarawak diseru agar lebih mengambil berat terhadap tahap kesihatan diri susulan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kualiti hidup seharian.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, corak pemakanan tidak seimbang yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada peningkatan kes NCD.
Menurut beliau, masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi kerap dikesan dalam kalangan penduduk kampung, khususnya warga emas, berpunca daripada pengambilan makanan masin secara berlebihan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perpaduan Dalam Kesihatan: Memperkasakan Komuniti anjuran Segi College yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Selalang, pada Ahad.
Tambah beliau, tabiat merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal serta tahap kesedaran kesihatan yang masih rendah turut meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.
“Pengesanan awal melalui pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting bagi mencegah komplikasi serius seperti strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali di hospital atau klinik berhampiran serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memperluas program kesedaran kesihatan termasuk pelaksanaan klinik bergerak bagi memastikan masyarakat pesisir tidak tercicir daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas. - EDISI UKAS