Fast Culture Kuching 2026 tarik 10,000 pengunjung, Sarawak Sebagai destinasi automotif serantau
KUCHING: Program Fast Culture Kuching 2026 yang berlangsung di Sarawak Plaza pada Sabtu berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi automotif berprofil tinggi di peringkat serantau.
Acara tahunan berteraskan budaya automotif dan komuniti itu bukan sahaja mendapat penyertaan aktif komuniti automotif tempatan, malah menarik kehadiran wakil media serta pencipta kandungan dari luar Sarawak.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Sarawak, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata Fast Culture menyediakan platform strategik untuk menyatukan komuniti, merangsang kreativiti belia, menggilap bakat tempatan serta menyokong perkembangan industri dan sektor pelancongan negeri.
“Kehadiran media tempatan dan antarabangsa membuktikan potensi Sarawak untuk diposisikan sebagai destinasi automotif yang berdaya saing di rantau ini,” katanya ketika ditemui pada acara berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, penaja, rakan media, sukarelawan serta komuniti automotif atas sokongan berterusan yang menyumbang kepada kejayaan program.
“Sokongan terhadap acara tempatan seperti ini penting bagi memastikan ekosistem automotif Sarawak terus berkembang secara mampan dan sejajar dengan acara automotif antarabangsa utama,” tambah beliau.
Program tersebut diakhiri dengan sesi cabutan bertuah yang berlangsung dalam suasana meriah, sekali gus menutup penganjuran Fast Culture Kuching 2026 dengan jayanya. — EDISI UKAS