Program kebajikan warnai sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Simanggang
SIMANGGANG: Sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Simanggang diserikan dengan program kebajikan yang mencerminkan keprihatinan berterusan kepimpinan negeri terhadap masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, memulakan program berkenaan dengan kunjungan ke Kesatuan Benevolent Simanggang, menyampaikan angpau, pek makanan dan limau mandarin kepada 15 penerima sebagai simbol perkongsian kegembiraan sempena musim perayaan.
Sumbangan tersebut hasil kerjasama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang bersama pertubuhan tempatan termasuk Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman, Persatuan Hakka Sri Aman, Persatuan Teo Chiew Sri Aman dan Persatuan Buddha Sri Aman, serta sumbangan individu prihatin.
Harden bersama rombongan seterusnya menyantuni masyarakat di Medan Selera Bayu Sri Aman, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Aman, dan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol (RKKDA) Sri Aman, menyampaikan keseluruhan lebih 100 pek makanan dan angpau kepada penerima.
Beliau menegaskan bahawa musim perayaan perlu dijadikan platform untuk mendekati golongan yang memerlukan agar mereka turut merasai kegembiraan sambutan Tahun Baru Cina.
“Musim perayaan ini wajar dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan supaya mereka tidak terpinggir daripada kemeriahan perayaan,” katanya sambil berharap sumbangan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima.
Program turut dihadiri Pemanca Lee Shiang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn, Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman Tay Cho Seng serta Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang, Kaunselor Wong Yii Hong, yang bersama-sama memeriahkan program.— EDISI UKAS