SUKMA Selangor: Sarawak Berdepan Misi Getir, Perlu Persiapan Rapi
SIMANGGANG: Pengurusan pasukan, operasi serta logistik perlu dirancang rapi oleh Kontinjen Sarawak dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 2026 di Selangor, Ogos nanti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, cabaran getir menanti kontinjen Sarawak di Selangor rentetan pendekatan tuan rumah yang menganjurkan acara sukan di sembilan daerah dalam negeri termasuk satu acara di Negeri Sembilan.
Katanya, strategi itu akan memisahkan para atlet Sarawak sepanjang temasya itu kelak, sekali gus menuntut disiplin serta fokus yang jitu dalam kalangan atlet.
"Apabila SUKMA diadakan kali ini, kemungkinannya dari segi logistik, agak berat untuk negeri seperti Sarawak, kita tidak dapat berada dalam satu tempat, semuanya akan berselerak dalam sembilan daerah di Selangor.
“Ini memerlukan kontinjen yang menjaga tiap-tiap sukan di daerah tersebut, mewakili Sarawak perlu mental yang kuat, perlu pengurusan yang kuat, dan atlet-atletnya juga perlu berupaya untuk walaupun tidak bersama dalam satu kem, mereka mesti dapat menonjolkan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis Penangguhan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman pada Ahad.
Penangguhan majlis telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengelola SUKSAR IV 2026 turut memberitahu, persediaan awal terbabit menjadi kunci untuk memastikan atlet Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi pertandingan.
Mengulas mengenai penganjuran SUKSAR, beliau berkata temasya dwitahunan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat atlet muda malah menjadi medium dalam memperkukuh perpaduan, semangat kesukanan serta kerjasama antara kontinjen dari seluruh Sarawak.
"Lagi pun, kejayaan penganjuran temasya sukan seperti ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem sukan yang lebih tersusun dan berdaya saing," katanya.
Justeru, beliau menyeru semua atlet menjadikan kejohanan ini sebagai batu loncatan untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk mewakili Sarawak dan negara di pentas kebangsaan serta antarabangsa pada akan datang.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta dif-dif kenamaan lain. - EDISI UKAS