Kontraktor Kecil Bumiputera G1–G4 Sarawak Terus Diperkasa Melalui Program Penyelenggaraan Jalan Persekutuan
KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkasa kontraktor kecil Bumiputera di Sarawak menerusi pelaksanaan Program Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak Tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM200 juta, menurut satu kenyataan media kementerian itu pada Ahad.
Menurut KKR, pelaksanaan program berkenaan dilaksanakan melalui Majlis Cabutan Undi Tawaran Kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan sebagai usaha memastikan infrastruktur jalan raya persekutuan sentiasa berada pada tahap berkualiti, efisien dan berdaya tahan demi memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
KKR memaklumkan, peruntukan bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding RM50 juta pada tahun 2025, sekali gus memperluaskan peluang penyertaan kontraktor kecil tempatan khususnya kelas G1 dan G2 dalam kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur negara.
Sebanyak 141 kerja penyelenggaraan ditawarkan pada tahun ini melibatkan 95 kerja Berkala Pavemen (BP) dan 46 kerja Berkala Bukan Pavemen (BPP).
Di Sarawak, kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan dilaksanakan melalui syarikat konsesi DAL HCM Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan BP sebanyak RM174.6 juta manakala BPP bernilai RM25.4 juta.
Pecahan projek melibatkan empat kerja bagi kontraktor G1, 25 bagi G2, 47 bagi G3 dan 65 bagi G4, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sektor penyelenggaraan jalan persekutuan.
Seramai 385 kontraktor yang memenuhi kriteria pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), rekod prestasi serta memiliki Sijil Taraf Bumiputera (STB) telah menyertai proses cabutan undi yang dikendalikan secara telus oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU).
Menurut kenyataan itu lagi, skop kerja BP meliputi pelaksanaan kerja seperti ‘mill and pave’, Cold In-Place Recycling (CIPR), ‘overlay’ serta pembinaan semula jalan.
Manakala kerja BPP merangkumi aspek keselamatan dan estetika termasuk garisan jalan, papan tanda, ‘road kerb’ serta sistem perparitan.
Semua pelaksanaan kerja di tapak akan dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak, dengan penilaian prestasi kontraktor dijadikan asas pertimbangan bagi peluang tawaran kerja pada masa hadapan, selaras dengan penegasan KKR bahawa tiada kompromi terhadap aspek kualiti, kos, tempoh siap dan keselamatan di bawah aspirasi Program MYJalan KKR.
KKR menegaskan akan terus memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti dalam memperkasa kontraktor tempatan serta memastikan setiap peruntukan disalurkan secara optimum dan berkesan demi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pengguna jalan raya persekutuan, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan dan berfokuskan rakyat.-EDISI UKAS
Kredit Gambar: Facebook Rasmi Dato Sri Alexander Nanta Linggi