Pelancaran Laman Web Rasmi SIWA Pacu Pemerkasaan Wanita Era Digital
KUCHING: Pemerkasaan wanita bukan sekadar slogan, sebaliknya memerlukan tindakan berterusan melibatkan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor awam dan swasta, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Persatuan seperti Sarawak Indian Women’s Association (SIWA) memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara dasar nasional dan keperluan sebenar wanita di peringkat akar umbi, khususnya komuniti wanita India di Sarawak.
“Dalam dunia digital hari ini, kehadiran dalam talian yang sah dan dipercayai bukan lagi satu pilihan. Laman web menjadi pusat rujukan utama untuk menyampaikan maklumat yang tepat, melibatkan pihak berkepentingan serta melindungi masyarakat daripada penipuan dan maklumat palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ahad ketika merasmikan pelancaran laman web rasmi SIWA, yang disifatkan sebagai satu langkah strategik dan tepat pada masanya dalam era digital masa.
Tambah beliau, inisiatif tersebut selari dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, yang menekankan aspek literasi digital, keusahawanan serta penglibatan wanita dalam ekonomi moden.
“Apabila digunakan secara bertanggungjawab dan strategik, teknologi mampu membuka peluang baharu dan pasaran yang lebih luas kepada wanita,” jelasnya.
Nancy turut memuji usaha SIWA dalam memperkukuh kredibiliti institusi menerusi pendigitalan, memandangkan persatuan tersebut telah lebih 20 tahun berkhidmat kepada masyarakat.
“Program, pencapaian dan kisah komuniti SIWA wajar didokumentasikan dan diakses secara terbuka. Ketelusan ini membina kepercayaan, mengukuhkan kerjasama dan membuka ruang kolaborasi yang lebih luas,” ujarnya.
Tambahnya, beliau juga menyifatkan langkah SIWA meneroka harta intelek dan produk berasaskan pengetahuan sebagai satu pendekatan berpandangan jauh, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Apabila organisasi menjadi lebih berdikari dan mampan, ia bukan sahaja menyokong kelangsungan sendiri malah membantu Kerajaan menyalurkan bantuan kepada kumpulan baharu yang memerlukan,” katanya.
Menurut beliau, ekosistem yang sihat terhasil apabila komuniti saling memperkasa, bekerjasama dan bergerak seiring dengan Kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga. - EDISI UKAS