Kepimpinan Berteraskan Kebersamaan Perkukuh Pengurusan Komuniti di Jemoreng
MATU: Pendekatan kepimpinan yang menekankan kebersamaan dan tanggungjawab sosial terus dipraktikkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng apabila Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya hadir menyantuni program gotong-royong di sekitar Daerah Matu.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada Ahad itu melibatkan beberapa lokasi antaranya Tanah Perkuburan Islam Kampung Sok, Kampung Pergau, Kampung Tian serta Kampung Jemoreng.
Aktiviti gotong-royong berkenaan bertujuan membersih dan menceriakan kawasan perkuburan selain memupuk semangat kerjasama, mengeratkan silaturahim serta menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan penduduk setempat, khususnya berkaitan pengurusan fardu kifayah.
Kehadiran Datuk Dr Juanda yang turut bersama komuniti setempat sepanjang program berlangsung mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan masyarakat di kawasan Jemoreng, di samping memperkukuh hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.
Penduduk setempat turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas sokongan dan keprihatinan beliau dalam memastikan kebersihan serta kesejahteraan kawasan perkuburan sentiasa terpelihara demi kemudahan masyarakat setempat.
Program tersebut sekali gus mencerminkan semangat muafakat masyarakat yang sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi.-EDISI UKAS