Pembangunan Nano Satelit, Parkasa Perancangan Survey Dan Pembangunan Sarawak
BINTULU: Kerajaan Sarawak menerajui inisiatif pembangunan nano satelit jenis cubesat bagi memperkukuh kerja-kerja survei tanah dan perancangan pembangunan masa depan Sarawak
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata teknologi nano satelit kini dilihat sebagai satu alternatif lebih efisien dan kos efektif untuk mendapatkan data geospatial secara langsung dari orbit rendah bumi.
Menurut beliau, kos penghasilan satelit konvensional di Eropah dianggarkan mencapai antara Euro 300 juta hingga Euro 500 juta , manakala nano satelit termasuk cubesat hanya berharga antara Euro 500,000 hingga Euro 700,000.
“Dengan teknologi ini, Sarawak mampu menghasilkan nano satelit sendiri yang akan menyokong aktiviti pemetaan dan penyimpanan data di orbit rendah,” katanya semasa berucap pada Majlis Landas Summit 2026 di sini pada Isnin.
Premier menegaskan data yang diperolehi melalui nano satelit akan digunakan untuk meningkatkan perancangan ekonomi dan spatial negeri, khususnya dalam kerja-kerja pengurusan tanah, infrastruktur dan pembangunan mampan.
“Data dari orbit rendah akan membantu kerja survei tanah secara lebih cepat, tepat dan bersepadu, sekali gus memberi gambaran jelas terhadap keadaan fizikal bumi Sarawak,” ujarnya.
Beliau juga memuji tahap kemajuan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam penggunaan teknologi dan pengumpulan data digital serta menekankan pentingnya integrasi antara sistem maklumat tanah bersepadu dan teknologi nano satelit.
Inisiatif nano satelit ini juga selaras dengan penggunaan data satelit dalam sektor pertanian moden, industri berteraskan tinggi, ekonomi digital dan perancangan bandar serta luar bandar, di bawah strategi pembangunan Sarawak 2030.
Premier menambah, pihaknya komited untuk melihat Sarawak menjadi peneraju teknologi satelit kecil ini dalam ASEAN dan membuka peluang kepada penyelidik, akademik serta sektor swasta untuk bekerjasama dalam pembangunan dan aplikasi teknologi nano satelit.
Pelan strategik Jabatan Tanah dan Survei Sarawak 2026–2030, yang baru dilancarkan, turut merangkumi inisiatif penggunaan teknologi ruang angkasa untuk mempercepatkan kerja-kerja pemetaan, analisis data dan pembangunan sistem maklumat yang lebih berkualiti.
Majlis juga menyaksikan pelancaran Dewan Premier Sarawak di Universiti Teknologi Malaysia sebagai simbol hubungan strategik antara kerajaan negeri dan institusi akademik dalam bidang geospatial, penderiaan jauh serta teknologi ruang angkasa.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi; Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti; Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta kenamaan lain.-EDISI UKAS