Pengurusan Tanah Strategik Asas Pembangunan Mampan Sarawak
BINTULU: Pengurusan tanah yang strategik, telus dan berteraskan teknologi menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan Sarawak kekal mampan, inklusif serta berdaya tahan terhadap cabaran masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tanah bukan sekadar aset fizikal, sebaliknya warisan turun-temurun, sumber kehidupan serta lambang identiti masyarakat yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial negeri ini.
Menurut beliau, pentadbiran tanah perlu dilihat sebagai strategi pembangunan jangka panjang yang menentukan hala tuju ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar Sarawak.
“Dalam menghadapi pembangunan pesat dan perubahan global, kita berdepan cabaran semakin kompleks termasuk isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), urbanisasi, perubahan iklim serta tekanan terhadap alam sekitar.
“Pendekatan kita mesti seimbang antara pembangunan dan keadilan sosial supaya kemajuan tidak meminggirkan rakyat serta tidak mengorbankan warisan nenek moyang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Landas Summit 2026 di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menegaskan kerajaan negeri komited mempercepat pengukuran tanah NCR, memperkukuh dokumentasi, meningkatkan ketelusan serta memastikan pertikaian diselesaikan secara adil.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan perancangan guna tanah yang sistematik dan bersepadu bagi menangani tekanan pembangunan bandar, permintaan perumahan serta keperluan komersial tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Beliau turut menyentuh kesan perubahan iklim seperti banjir, hakisan pantai dan perubahan corak cuaca yang memerlukan perancangan tanah berasaskan daya tahan iklim serta perlindungan kawasan sensitif alam sekitar.
Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri meneroka pelbagai sumber tenaga baharu termasuk hidrogen, hidro, biojisim dan solar sebagai sebahagian strategi ekonomi hijau, di samping memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan data serta pembangunan satelit nano bagi menyokong perancangan dan pemetaan tanah yang lebih tepat.
Menurutnya, transformasi digital dalam pentadbiran tanah bukan menggantikan peranan pegawai, sebaliknya memperkasa kecekapan sistem melalui penggunaan GIS, permohonan dalam talian, perkongsian data antara agensi serta penekanan terhadap keselamatan data.
Pada majlis sama, beliau melancarkan Pelan Strategik Jabatan Tanah dan Survei Sarawak 2026–2030 yang dirangka selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Pelan tersebut merangkumi lima teras strategik, 26 strategi dan 104 inisiatif meliputi tadbir urus tanah, perundangan, pengurusan projek, teknologi digital serta pembangunan kapasiti organisasi.
Selain itu, Premier Sarawak turut merasmikan Dewan Premier Sarawak di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia secara maya sebagai penghargaan terhadap sokongan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan, termasuk kolaborasi makmal satelit bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Firdaus Materang
Jurugambar : Jemat Marin