Pengukuran Tanah NCR Perkukuh Jaminan Hak Pemilikan Komuniti Bumiputera
BINTULU: Kejayaan berterusan program pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak terus memperkukuh jaminan hak pemilikan komuniti setempat, sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan negeri.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, sejak pelaksanaan Inisiatif Baharu Pengukuran Tanah NCR pada 2010, lebih 1.245 juta hektar tanah telah diukur secara perimeter sehingga 31 Disember 2025.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seluas 947,442 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
"Usaha mempertingkat pengukuran lot individu turut diperkasakan melalui penambahbaikan teknologi serta kaedah pengukuran.
“Sehingga akhir 2025, sebanyak 109,065 lot individu dengan keluasan 129,797 hektar telah diukur. Daripada jumlah itu, 35,873 lot telah dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian LANDAS Summit 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Isnin.
Tambahnya, kemajuan program berkenaan bukan sahaja mempercepat proses pemilikan tanah yang sah, malah meningkatkan keselamatan pegangan tanah dalam kalangan komuniti Bumiputera.
LANDAS Summit 2026 menghimpunkan pegawai Jabatan Tanah dan Survei dari seluruh Sarawak sebagai platform interaksi strategik bagi memperkemas hala tuju pentadbiran tanah negeri.-EDISI UKAS