Kerajaan Perkasa Wanita Berdikari Melalui Keusahawanan & Ekonomi Kreatif
KUCHING: Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pemeliharaan warisan, pembangunan kapasiti dan keusahawanan wanita dilihat berupaya melahirkan golongan wanita berdikari serta berdaya tahan dari segi ekonomi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kerajaan akan terus komited memperkasa golongan wanita agar mampu berdikari serta menjana pendapatan sendiri, selaras usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara
Menurutnya, program PERANTIS dan Pameran Dayung Warisan merupakan sebuah inisiatif kepimpinan warisan dan pembangunan kapasiti yang memperkasa wanita untuk menyelidik, mendokumentasi dan membentangkan warisan budaya Sarawak.
"Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi membolehkan wanita menonjolkan kreativiti, bakat serta kebolehan keusahawanan masing-masing.
"Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian modal kecil serta penyediaan platform sokongan seperti wanita dinamik, bagi membantu wanita membangunkan potensi ekonomi secara mampan.
“Sebagai Menteri Pembangunan Keluarga, kita perlu memastikan wanita mampu berdikari. Dengan sokongan yang bersesuaian, kita memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika Majlis Penutupan Program PERANTIS dan Pameran Dayung Warisan di sini pada Isnin.
Dato’ Sri Nancy turut menegaskan bahawa Sarawak memiliki kelebihan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya serta keunikan produk tempatan, khususnya dalam bidang seni kreatif dan kraftangan, yang berpotensi menjadi sumber pendapatan berterusan kepada wanita.
“Budaya dan produk Sarawak amat istimewa. Melalui keunikan ini, wanita bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga, malah menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” tambahnya.
Beliau berkata, penglibatan wanita dalam bidang perniagaan turut membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pihak lain termasuk suami dan anak-anak, di samping membina keyakinan diri serta kemahiran kendiri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan wanita untuk terus menambah ilmu keusahawanan, khususnya dalam aspek monetisasi, iaitu keupayaan menukar sumber sedia ada di sekeliling mereka seperti hasil tanaman atau bahan di rumah menjadi produk bernilai ekonomi.
“Hari ini, produk batik hasil usaha mereka sudah dipasarkan di kedai-kedai sekitar India Street. Ini membuktikan wanita mampu berdikari dan mencari rezeki melalui kreativiti serta sokongan yang diberikan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick, Ahli Majlis Wanita Jabatan Pembangunan Wanita, Datu Angelina Celestine Ujang, Datu Dr Rashidah Bolhassan serta Pengarah Program Dayung Warisan, Steffany Raymond Landong. –EDISI UKAS