Lebih 700 Ang Pau Simbol Perkongsian Keberkatan Tahun Baharu Cina di Sibu
SIBU: Lebih 700 pek sampul duit Tahun Baharu Cina yang disediakan dan diagihkan kepada masyarakat setempat di Sibu melambangkan perkongsian rezeki serta keberkatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata pendekatan suasana mesra dan bersahaja dipilih bagi membolehkannya berinteraksi lebih dekat dengan komuniti, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Ini musim yang menggembirakan. Kami hanya mahu berkongsi keberkatan dengan semua orang yang kami temui, berbual secara santai, bertanya khabar dan bertukar pandangan mengenai masa depan Sibu dan komuniti,” katanya dalam program Pengagihan Sampul Duit Tahun Baru Cina, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Datuk Michael Tiang menjelaskan bahawa agihan ang pau kali ini tidak terhad kepada kanak-kanak seperti kebiasaan, sebaliknya diperluaskan kepada seluruh keluarga sebagai tanda inklusiviti dan kebersamaan.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira dapat bersama masyarakat di peringkat akar umbi, sambil menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna dan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Kami mahu semua orang merasai kegembiraan ini. Melihat seluruh keluarga berkumpul dan menikmati hidangan bersama adalah gambaran terbaik sebuah komuniti Sarawak yang harmoni,” tambahnya.-EDISI UKAS