RMC Baharu RM250 Juta Pacu ‘Brain Gain’, Perkukuh Sibu Sebagai Hab Perubatan Serantau
SIBU: Pembinaan Pusat Perubatan Rejang (RMC) baharu bernilai RM250 juta disifatkan sebagai lonjakan besar dalam landskap penjagaan kesihatan Sarawak, sekali gus meletakkan Sibu sebagai pemain penting dalam sektor pelancongan perubatan di rantau ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata projek hospital tertiari berkapasiti 250 katil itu berpotensi menarik pesakit bukan sahaja dari seluruh Borneo, malah dari wilayah sekitar.
Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sekadar meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan tertiari di Sibu, tetapi turut menyumbang kepada usaha penyahpusatan perkhidmatan perubatan kepakaran di seluruh negeri.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan tertiari di Sibu, malah membantu menyahpusatkan perkhidmatan perubatan kepakaran di seluruh negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran fasa kedua pembinaan Pusat Perubatan Rejang Baharu di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kewujudan RMC baharu akan memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman termasuk Kapit dan sepanjang Lembangan Rajang mendapatkan akses kepada perkhidmatan perubatan kritikal dengan masa perjalanan yang lebih singkat.
Mengulas lanjut, Datuk Michael Tiang menegaskan bahawa projek ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha menarik kepulangan tenaga profesional berkualiti ke Sarawak, sekali gus menangani isu penghijrahan bakat tempatan ke luar negara.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata pembangunan RMC baharu bukan sahaja menyediakan kemudahan rawatan bertaraf tinggi, malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, RMC diharap dapat berkembang sebagai pusat perubatan yang bukan sekadar memberi rawatan, tetapi turut berperanan sebagai institusi yang menarik pulang profesional perubatan dari Sibu dan wilayah sekitarnya.
Clarence turut menyifatkan tempoh pembinaan antara dua hingga tiga tahun sebagai realistik dan optimis projek itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Mengimbas perjalanan RMC selama 23 tahun, beliau menyifatkan transformasinya daripada sebuah hospital bersalin kepada hospital berskala besar sebagai satu pencapaian yang membanggakan dan bukti kemajuan sektor kesihatan di Sibu. -EDISI UKAS