TYT Sarawak & Isteri Mulakan Lawatan Rasmi Ke Markas Pangkalan TLDM Lumut
PERAK: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selamat tiba di Helipad 4, Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, di sini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Markas Pangkalan TLDM Lumut dan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd.
Ketibaan beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada jam 9.50 pagi Isnin dengan menaiki helikopter khas disambut oleh Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Laut (TPTL) Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha dan Panglima Armada Barat (PA Barat) Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor serta isteri masing-masing.
Turut mengiringi TYT Sarawak ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.
Sejurus mendarat, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah disambut secara rasmi diikuti dengan bacaan doa pimpinan Pegawai Agama Markas Pemerintahan Armada Barat, Ustaz Mejar Azlan Abdullah, sebelum diberi Penghormatan Istiadat Passing Guard yang menjadi sebahagian daripada sambutan ketibaan.
Sebelum memulakan lawatan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berangkat ke Markas Panglima Armada Barat bagi menerima Penghormatan Kawalan Kehormatan Utama mengikut protokol dan istiadat ketenteraan yang ditetapkan.
Lawatan rasmi tersebut dijadualkan merangkumi lawatan di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, Majlis Ramah Mesra bersama anak Sarawak serta Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.-EDISI UKAS