Utiliti, Telekomunikasi Pemangkin Pembangunan Sarawak Menjelang 2030
KUCHING: Pembangunan utiliti dan telekomunikasi terus menjadi pemangkin utama kepada agenda pembangunan Sarawak apabila Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menyasarkan pelaksanaan 77 program di bawah Perancangan Tahunan 2026 selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penyediaan kemudahan asas yang mampan dan menyeluruh termasuk tenaga boleh baharu, bekalan air serta liputan digital merupakan elemen penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Penyediaan kemudahan utiliti dan telekomunikasi di bawah kementerian adalah merupakan pemangkin yang penting bagi menjayakan hala tuju pembangunan Sarawak selari dengan PCDS 2030, SDG dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, pada Isnin.
Menurut beliau, kapasiti penjanaan elektrik negeri kini mencecah 5,898 Gigawatt (GW) dan disasarkan meningkat kepada 10GW menjelang 2030 serta 15GW menjelang 2035 dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu.
Dalam sektor bekalan air katanya, liputan keseluruhan kini mencapai 85.6 peratus dengan peruntukan RM810.6 juta disediakan bagi pelaksanaan projek tahun ini termasuk program menaik taraf dan penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).
Sementara itu ujar beliau, liputan internet di Sarawak telah mencapai 94.5 peratus setakat 2025 dengan usaha penambahbaikan terus dipergiat melalui pelaksanaan JENDELA Fasa 2 serta inisiatif menaik taraf rangkaian gentian optik, khususnya di kawasan ‘blind spot’ sepanjang laluan utama negeri.
Beliau dalam masa sama menegaskan kepentingan pemantauan rapi pelaksanaan projek, pengukuhan integriti serta penyelesaian segera aduan rakyat bagi memastikan peruntukan berjumlah RM1.05 bilion yang diluluskan tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.-EDISI UKAS