Kerajaan Sarawak Terus Perkukuh Jaringan Keselamatan Sosial
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi memastikan golongan rentan sentiasa terbela dan tidak tercicir daripada arus pembangunan serta kemeriahan sambutan perayaan.
Komitmen itu ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 di perkarangan Dynasty Hotel, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, JKM memainkan peranan penting sebagai agensi pelaksana kebajikan negeri dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan berterusan termasuk bantuan kewangan bulanan, sokongan kebajikan sosial serta program intervensi komuniti bagi warga emas, orang kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah.
“Program sumbangan sempena musim perayaan menjadi pelengkap kepada bantuan sedia ada bagi meringankan beban penerima, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kebajikan kerajaan Sarawak bukan sekadar bersifat bantuan jangka pendek, sebaliknya berteraskan prinsip kesejahteraan menyeluruh yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan emosi penerima, selain diperkukuh melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi memperluas capaian bantuan kepada golongan sasar.
Dalam majlis tersebut, seramai 150 penerima berdaftar dengan JKM Bahagian Miri menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Setiap penerima menerima bantuan tunai RM100 yang disalurkan melalui JKM serta hamper barangan keperluan asas bernilai RM150 sumbangan Dynasty Hotel Miri merangkumi beras, ayam segar, minyak masak dan barangan keperluan lain.
Sementara itu, Datuk Rosey dalam ucapannya berkata program kebajikan seumpama ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan golongan kurang berkemampuan terus menerima perhatian dan sokongan, khususnya ketika musim perayaan yang sering melibatkan perbelanjaan tambahan.
Beliau turut memuji peranan aktif JKM Bahagian Miri yang sentiasa komited mengenal pasti penerima layak, menyelaras pengagihan bantuan serta memastikan kebajikan golongan sasaran dipantau secara berterusan.
Majlis berkenaan merupakan penganjuran bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan Dynasty Hotel Miri yang telah menjalinkan kerjasama selama 24 tahun, manakala program sumbangan perayaan oleh pihak hotel telah dianjurkan secara konsisten sejak 26 tahun lalu meliputi tiga perayaan utama di Sarawak iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Urusan Dynasty Hotel Miri Tony Pui, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri Vivian Engkiong, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Nur Ashyikin Abdullah, Ketua Balai Bomba Miri Central Nicholas Belulin serta wakil jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat.-EDISI UKAS