50 Unit RSP Hulu Kabong Bukti Komitmen Kerajaan Sarawak Sedia Perumahan Berkualiti
KABONG: Pembinaan Rumah Spektra Permata (RSP) Hulu Kabong di Betong mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) untuk memiliki kediaman sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohamad Chee Kadir memuji mutu dan kualiti pembinaan projek berkenaan yang dilihat mampu memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta meningkatkan taraf hidup komuniti.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) itu merupakan langkah signifikan dalam memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah yang selamat dan berkualiti.
“Projek ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap keluarga berpeluang memiliki rumah berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Kunci RSP Hulu Kabong di Dewan Balai Polis Kabong, pada Isnin.
RSP Hulu Kabong dibangunkan di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan merangkumi 50 unit rumah dua tingkat berkeluasan 800 kaki persegi setiap satu.
Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur serta anjung kereta bagi memastikan keselesaan penghuni.
Projek tersebut dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor kecekapan 73 peratus, sekali gus menjamin kualiti pembinaan yang lebih baik serta tempoh pelaksanaan yang lebih efisien.
Pada majlis sama, seramai 34 bakal pemilik menerima replika kunci rumah masing-masing sebagai simbolik penyerahan kediaman baharu mereka.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi serta Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali.-EDISI UKAS