1,708 Penerima Bantuan Kebajikan Terima Sumbangan Sempena TBC Di Sibu
SIBU: Seramai 1,708 penerima bantuan kebajikan berbangsa Cina di Bahagian Sibu menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) menerusi Majlis Sejambak Kasih tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penerima bantuan meliputi Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau yang akan menyambut perayaan berkenaan tahun ini.
“Bagi penerima bantuan jabatan yang hadir pada majlis hari ini, mereka menerima sumbangan tunai sebanyak RM100 berserta hamper bernilai RM80 sebagai tanda ingatan dan sokongan berterusan kerajaan kepada golongan memerlukan.
“Manakala penerima bantuan jabatan yang tidak dijemput hadir juga tetap menerima sumbangan tunai RM100 yang disalurkan melalui pengkreditan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu di Hotel Kingwood, pada Isnin.
Tambah beliau, bangunan Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu akan menjalani kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan dalam masa terdekat bagi memastikan kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan baik, selesa dan selamat untuk jangka masa panjang.
“Sehubungan itu, bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penghuni terus terjamin sepanjang tempoh tersebut, pihak pengurusan telah merancang penempatan sementara dengan memindahkan penghuni RSK Sibu ke RSK Kuching.
“Insya-Allah, para penghuni akan ditempatkan semula ke RSK Sibu setelah kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan selesai dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para penerima bantuan agar memanfaatkan sumbangan yang diterima dengan bijaksana serta menjadikannya sebagai dorongan untuk terus berusaha memperbaiki taraf kehidupan.
“Bantuan ini adalah hasil usaha bersama masyarakat yang prihatin.
“Manfaatkanlah dengan sebaiknya, sentiasa bersyukur dan jangan pernah berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup,” katanya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, wakil Residen Bahagian Sibu Nursyarmila Jeruis, Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Soon, Temenggong Stanley Geramong Bandar dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Uwieng Gimos. - EDISI UKAS