Agihan Angpau Sempena Tahun Baharu Cina Cerminkan Keprihatinan ADUN Tellian Terhadap Komuniti Tionghua
MUKAH : Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas dan golongan kurang berkemampuan terus diberi perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine bersama isteri menyantuni komuniti Tionghua menerusi program agihan angpau dan jamuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di MK99 Restaurant, baru- baru ini.
Program yang dilaksanakan bersama Mukah Chinese Benevolent Society itu melibatkan seramai 29 warga emas dan golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka serta menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina.
Inisiatif ini menunjukkan semangat kebersamaan, keprihatinan terhadap masyarakat serta hubungan baik antara pemimpin dan penduduk pelbagai kaum di Tellian.
Selain agihan angpau, pengagihan buah limau mandarin turut diadakan di bawah Program SABERKAS Prihatin sebagai simbol perkongsian rezeki, kegembiraan dan tanda ingatan terhadap golongan yang memerlukan agar mereka turut dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan tersebut.
Menurut Royston, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan sasaran, malah menjadi platform terbaik untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat.
“Pendekatan turun padang membolehkan kita mendengar sendiri pandangan serta memahami isu-isu sebenar di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang akan melakukan perjalanan sempena cuti Tahun Baharu Cina, khususnya yang pulang ke kampung halaman, agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan keluarga.
Turut hadir memeriahkan program Pengerusi Mukah Chinese Benevolent Society, Yeo Tiong Ing bersama ahli jawatankuasanya, serta barisan Exco SABERKAS Cawangan Tellian. - EDISI UKAS