Bekalan Darah Hospital Miri Perlu Sokongan Berterusan Menjelang Musim Perayaan
MIRI: Orang ramai diseru terus menyokong aktiviti derma darah bagi memastikan Tabung Darah Hospital Miri sentiasa mempunyai bekalan mencukupi, khususnya menjelang musim perayaan akan datang.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri lazimnya menyebabkan jumlah penderma darah berkurangan berikutan kesibukan masyarakat.
Menurut beliau, keperluan rawatan kecemasan di hospital bagaimanapun tetap berterusan dan memerlukan bekalan darah yang stabil.
“Dalam kebanyakan kes, semasa musim perayaan dan bulan puasa, jumlah penderma darah akan menurun. Namun, kes kecemasan tetap berlaku dan hospital perlu bersedia dengan bekalan darah yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Derma Darah ‘Prihatin Komuniti 2026’ yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Boulevard di sini pada Ahad.
Program anjuran Persatuan Prihatin Malaysia Miri (PPMM) bersama Persatuan Klan Lee Miri Seksyen Pemuda itu mendapat sambutan menggalakkan dengan 107 orang hadir mendaftar sebagai penderma, manakala 90 orang berjaya menderma darah sepanjang program dari jam 9 pagi hingga 1 petang.
Program tersebut turut disokong oleh Tabung Darah Hospital Miri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Miri, manakala pihak Boulevard Shopping Mall Miri menyediakan lokasi penganjuran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Tabung Darah Hospital Miri masih memerlukan lebih ramai penderma daripada pelbagai kumpulan darah, khususnya kumpulan O dan B bagi memenuhi keperluan pesakit termasuk kes kecemasan yang tidak dijangka.
Sehubungan itu, beliau menyeru individu yang mempunyai kumpulan darah tersebut agar tampil menderma sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur bersama atas inisiatif murni menganjurkan program kebajikan berkenaan demi kesejahteraan komuniti setempat.
Program itu turut menerima sokongan penaja apabila beberapa syarikat tempatan menyumbangkan barangan keperluan asas dan makanan untuk diagihkan kepada 100 penderma darah terawal yang berjaya menderma.-EDISI UKAS