Dana CSR RM110,000 LANDAS Summit 2026 Santuni Komuniti Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmen dalam menyeimbangkan pembangunan pesat dengan tanggungjawab sosial menerusi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah LANDAS Summit 2026.
Inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak itu mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara, khususnya masyarakat yang terkesan secara langsung akibat aktiviti pengkuarian, perlombongan serta pengekstrakan pasir dan batu kelikir.
Dalam majlis berkenaan, JTS menyampaikan sumbangan dana CSR berjumlah RM110,000 kepada tujuh penerima yang terdiri daripada institusi pendidikan dan kepimpinan komuniti.
Bagi sektor pendidikan, tiga sekolah menerima sumbangan keseluruhan RM60,000 iaitu SK Sungai Kem Batu 18, Bintulu, SK Kuala Tatau, Tatau dan SK Sungai Setulan, Bintulu dengan setiap sekolah menerima RM20,000 bagi menyokong kelestarian pendidikan serta penambahbaikan prasarana.
Sementara itu, sektor komuniti menerima peruntukan RM50,000 melibatkan empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), iaitu JKKK Rumah Panjang Tr. Pada anak Selan, JKKK Rumah Panjang Tr. Daniel anak Munking, JKKK Rumah Panjang Tr. James Kalip anak Ambu dan JKKK Kampung Haji Ismail, Tatau.
Pelaksanaan CSR tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi strategi memperkukuh hubungan harmoni antara industri dan rakyat, di samping memastikan hasil sumber bumi memberi pulangan bermakna kepada sosioekonomi masyarakat setempat.
Inisiatif di bawah LANDAS Summit 2026 itu diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama korporat pada masa hadapan demi kelangsungan pembangunan Sarawak yang makmur dan inklusif.-EDISI UKAS