MRP Perkasa Aktiviti Komuniti, Belia di DUN Jemoreng
MATU: Seramai 19 penerima terdiri daripada wakil kelab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa sukan dan kebudayaan serta persatuan di kawasan DUN Jemoreng menerima sumbangan berjumlah RM101,000 menerusi penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.
Menurut beliau, peruntukan MRP tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti di peringkat komuniti agar terus aktif dan berdaya maju.
“Sumbangan ini disalurkan bagi membantu kelab dan persatuan melaksanakan program sukan, kebudayaan serta kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, penglibatan aktif komuniti merupakan elemen penting dalam memperkukuh keharmonian serta pembangunan sosial di kawasan luar bandar.
“Kerajaan sentiasa komited menyokong inisiatif di peringkat akar umbi kerana ia menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang bersatu, aktif dan sejahtera,” tambahnya.
Antara penerima sumbangan termasuk PERKIM Cawangan Kuala Igan, PPWS Perkumpulan Kampung Igan, Persatuan Usahanita Igan, Kumpulan Qiraat Wanita Kampung Igan, KRT Kampung Sekerang (Pahlawan) Daerah Igan, Persatuan Bola Sepak Igan, Persatuan Futsal Igan, Kelab Dewan Serbaguna Igan, Jawatankuasa Futsal Tian serta beberapa jawatankuasa dan persatuan lain di sekitar Jemoreng dan Matu.
Turut hadir pada majlis penyerahan cek berkenaan ialah Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi.- EDISI UKAS