Santunan Jiwa Pusa 2026: 450 Peserta Raikan Gaya Hidup Sihat Dan Perpaduan Komuniti
PUSA: Suasana di Dewan Komuniti Kampung Pusa pada Ahad dipenuhi dengan keriangan apabila 450 peserta membanjiri dewan untuk Program Santunan Jiwa Pusa 2026.
Program tersebut disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, warga emas, serta penduduk Kampung Pusa dan kawasan sekitarnya. Kehadiran mereka membangkitkan suasana meriah dan mesra, di samping menonjolkan semangat kekitaan dalam komuniti.
Antara acara utama ialah Brisk Walk Santunan Jiwa Pusa 2026, yang membawa peserta menyusuri laluan sekitar kampung dengan langkah bersemangat.
Aktiviti fizikal ini bukan sahaja membantu meningkatkan stamina dan kesihatan fizikal, malah menjadi platform interaksi sosial, memperkukuh silaturahim dan perpaduan antara jiran tetangga.
Suasana sepanjang brisk walk dipenuhi dengan gelak tawa dan sapaan mesra antara peserta, sementara barisan pemimpin tempatan turut hadir memberi sokongan, menambah aura kemeriahan program.
Program ini juga memberikan peluang kepada penduduk untuk berinteraksi, bertukar pandangan mengenai kehidupan seharian serta membina hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam komuniti.
Selain aspek fizikal, program Santunan Jiwa Pusa turut menekankan nilai sosial dan perpaduan.
Aktiviti yang berteraskan kesihatan dan kebajikan ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara kaum, menyatupadukan komuniti, dan menonjolkan semangat muhibah yang menjadi teras keharmonian masyarakat Sarawak, khususnya di kawasan Batang Lupar.-EDISI UKAS