Kemeriahan Tahun Baharu Cina ‘Hidup’ Di Bintangor Menerusi Aktiviti Turun Padang ADUN Meradong
BINTANGOR: Suasana pra-Tahun Baharu Cina di Bandar Bintangor semakin dirasai apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isteri Datin Kueh Nai Fun turun padang menyantuni peniaga tempatan menerusi Program Pengagihan Kalendar, Kad Tahun Baharu Cina (CNY) dan Limau Mandarin pada Ahad.
Program dari kedai ke kedai itu bukan sekadar simbol perayaan, tetapi menjadi wadah kemesraan yang menghubungkan pemimpin dengan rakyat, sekali gus menyerlahkan semangat kebersamaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Sepanjang lawatan tersebut, Datuk Ding dan Datin Kueh menyampaikan kalendar serta kad CNY sebagai tanda ingatan, selain mengagihkan limau mandarin yang melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan tuah kepada para peniaga.
Kehadiran mereka disambut mesra oleh komuniti perniagaan setempat yang turut mengambil peluang bertukar ucapan perayaan serta berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa dan cabaran perniagaan di Bandar Bintangor.
Dalam ucapannya, Datuk Ding menzahirkan harapan agar sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini membawa kesejahteraan, kesihatan yang baik serta rezeki yang berpanjangan kepada seluruh masyarakat, khususnya para peniaga yang menjadi nadi ekonomi bandar tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum kekal menjadi kekuatan utama Meradong, sekali gus menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan kawasan.
Menurut Datuk Ding, program turun padang seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan hubungan antara pemimpin dan rakyat kekal erat, selain membolehkan isu-isu setempat didengar dan difahami secara langsung.
Jelasnya, kemakmuran sesebuah kawasan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat semua pihak tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Program tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kepimpinan terhadap masyarakat setempat, malah menyerlahkan semangat muhibah dan kebersamaan yang kukuh dalam kalangan warga Bandar Bintangor menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi. -EDISI UKAS