JKM Peruntuk RM299.78 juta Bantu Golongan Memerlukan Sepanjang 2025
SARIKEI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan sebanyak lapan skim bantuan kepada 57,073 kes dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM299.78 juta sepanjang tahun 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, di Bahagian Sarikei sahaja, statistik terkini menunjukkan seramai 2,908 penerima bantuan telah menerima pelbagai bentuk bantuan pada Januari 2026 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.31 juta.
“Perbelanjaan melebihi RM1.3 juta dalam tempoh sebulan bagi lapan skim bantuan utama seperti Bantuan Warga Emas (BWE) dan Bantuan Kanak-kanak (BKK) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan sasar sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2026 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menambah, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan, terus terbela melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JKM Sarawak turut menyediakan peluang latihan dan kursus kemahiran melalui Program Pembangunan Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang dibiayai sepenuhnya bagi anak-anak penerima bantuan di institut kemahiran tempatan.
Katanya, kerjasama dengan pelbagai syarikat turut dilaksanakan bagi membuka peluang latihan dan pekerjaan kepada peserta, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga penerima bantuan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa agar memastikan anak-anak tidak tercicir daripada persekolahan dan terus melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran untuk mengubah masa depan keluarga penerima bantuan.
Seramai 580 penerima bantuan berbangsa Cina di Bahagian Sarikei dikenal pasti menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini menerusi program kebajikan kerajaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap golongan sasar.
Daripada jumlah tersebut, seramai 100 orang penerima telah dijemput hadir secara fizikal ke majlis tersebut di mana menerima sumbangan tunai sebanyak RM100 serta hamper perayaan.
Baki penerima bantuan yang tidak berkesempatan hadir turut menerima sumbangan tunai RM100 yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank masing-masing.
Empat daerah di Bahagian Sarikei terlibat dalam agihan bantuan tersebut dengan pecahan penerima Sarikei (378 orang), Meradong (186), Julau (10) dan Pakan (6).
Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 ini bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan kerajaan, malah mencerminkan usaha berterusan dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya saing.
Hadir sama Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Nurin Chunggat serta tetamu lain. - EDISI UKAS