RM40,000 Untuk Persatuan Lori Sarikei Sokong Pembangunan Komuniti Dan Ekonomi Setempat
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii mengumumkan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada Persatuan Lori Sarikei sebagai tanda sokongan berterusan terhadap penggerak sektor pengangkutan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi kawasan Sarikei.
Beliau berkata sumbangan tersebut bertujuan menyokong penganjuran program dan aktiviti persatuan berkenaan, sekali gus memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan komuniti setempat dalam memacu kemajuan ekonomi kawasan.
Dato’ Sri Huang mengumumkan sumbangan tersebut dalam Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Restaurant Grand Pavillion Sarikei, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya lagi, Dato’ Sri Huang menegaskan bahawa di bawah pimpinan Premier Sarawak, pelbagai projek pembangunan telah berjaya dilaksanakan di kawasan Sarikei dan Maradong.
Menurutnya, pencapaian tersebut adalah hasil sokongan padu serta kerjasama erat seluruh rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan negeri yang berteraskan pembangunan inklusif dan berdaya mampan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat berbilang kaum di Sarikei atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang telah menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan projek pembinaan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis, sekali gus merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan tersebut.
Tambahanya, infrastruktur pengangkutan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan logistik dan perdagangan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam khidmat bakti beliau sebagai wakil rakyat.
Selain usaha menaik taraf infrastruktur pendidikan, Dato’ Sri Huang turut menyalurkan bantuan seperti pakaian sekolah, kasut sekolah dan beg sekolah kepada para pelajar setiap tahun tanpa mengira latar belakang kaum sebagai komitmen memastikan kebajikan serta masa depan generasi muda terus terpelihara.-EDISI UKAS