I-GPS dan FTES Bukti Sarawak Memperkasakan Modal Insan
Bila kita bercakap tentang pendidikan di Sarawak hari ini, sebenarnya kita sedang menyaksikan satu perubahan besar yang jarang berlaku dalam sejarah pembangunan negeri ini. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai isu sampingan atau tanggungjawab individu semata-mata, tetapi sebagai amanah bersama kerajaan untuk memastikan setiap anak Sarawak mempunyai peluang yang adil untuk mengubah nasib hidup mereka.
Ramai mengenali Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak atau FTES dan inisiatif i-GPS sebagai simbol keberanian politik kerajaan negeri. Namun, di sebalik dasar besar itu, terdapat pelbagai bantuan kecil yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat biasa. Bantuan wang saku, baucar buku dan seragam serta peranti pembelajaran seperti komputer riba dan tablet, dan sokongan kos sara hidup mungkin tidak selalu menjadi tajuk utama berita, tetapi bagi anak Sarawak yang belajar jauh dari kampung halaman, bantuan inilah yang membuatkan mereka mampu bertahan dan terus bermimpi.
Di peringkat sekolah pula, kerajaan Sarawak tidak hanya bercakap tentang kualiti pendidikan di atas kertas. Kerajaan Sarawak turut melihat keperluan memperbaiki infrastruktur pendidikan di seluruh bahagian di negeri ini. Selain komitmen kerajaan negeri dan pusat memastikan bangunan sekolah daif di baik pulih atau di bina senula. Program tuisyen percuma seperti Sarawak Education Enhancement Programme memberi peluang kepada pelajar, khususnya di luar bandar dan pedalaman, untuk belajar dengan lebih yakin. Program sebegini bukan sekadar meningkatkan keputusan peperiksaan, tetapi memulihkan keyakinan diri pelajar bahawa mereka juga mampu berjaya jika diberi peluang dan sokongan yang betul.
Apa yang lebih membanggakan, perhatian terhadap pendidikan di Sarawak bermula seawal usia kanak-kanak. Subsidi yuran tadika dan sokongan kepada pusat pendidikan awal kanak-kanak menunjukkan bahawa kerajaan negeri memahami satu perkara penting, iaitu kejayaan masa depan bermula dengan asas yang kukuh. Bila ibu bapa dibantu, anak-anak membesar dalam persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk belajar.
Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan modal insan melalui inisiatif Free Tertiary Education Sarawak (FTES). Program ini membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa perlu risau tentang yuran pengajian, sekali gus mengurangkan jurang pendidikan antara golongan berada dan kurang berkemampuan.
Melalui FTES, yuran pengajian di institusi milik Kerajaan Sarawak seperti UTS, Curtin Sarawak, Swinburne Sarawak, UCTS dan i-CATS ditanggung sepenuhnya. Pelajar hanya perlu memberi fokus kepada pembelajaran dan pembinaan masa depan.
Pelaburan besar dalam institusi pendidikan milik negeri pula membuka lebih banyak laluan untuk anak Sarawak membina masa depan tanpa perlu sentiasa bergantung kepada peluang di luar. Sama ada dalam bidang akademik, kemahiran atau teknikal, pilihan semakin luas dan realistik. Ini membuktikan bahawa pembangunan pendidikan Sarawak tidak bersifat elitis, tetapi inklusif dan berpaksikan keperluan rakyat.
Namun, di sebalik semua kemudahan dan bantuan ini, ada satu perkara yang tidak boleh kita abaikan. Sebagai rakyat dan anak Sarawak, kita mesti bersyukur. Kesyukuran itu bukan sekadar ucapan terima kasih, tetapi dizahirkan melalui kefahaman dan kebijaksanaan dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri. Banyak manfaat yang kita nikmati hari ini lahir daripada dasar dan keberanian kepimpinan kerajaan GPS yang memahami denyut nadi rakyat Sarawak.
Jika pentadbiran yang pro-pendidikan ini tidak dipertahankan, tidak mustahil semua ini tinggal sebagai kenangan. Sebab itu, rakyat perlu terus memastikan kerajaan GPS diberi mandat untuk mentadbir Sarawak. Bukan kerana taksub, tetapi kerana hasilnya jelas dirasai oleh rakyat biasa, oleh pelajar di asrama, oleh ibu bapa di kampung, dan oleh anak Sarawak yang sedang berjuang mengubah masa depan mereka.
Dalam diam, Sarawak sedang membina harapan melalui pendidikan. Dan sebagai rakyat, tugas kita ialah menjaga harapan itu agar terus menyala.