Kerjasama UKAS-Agensi Penting Perluas Hebahan Inisiatif Kerajaan Sarawak
MUKAH: Setiap agensi juga perlu bekerjasama rapat dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi membantu menghebahkan maklumat masing-masing.
Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, dengan kerjasama tersebut, ia dapat membantu dalam menyampaikan maklumat sehingga ke peringkat akar umbi.
"UKAS membuat hebahan penyebaran maklumat tentang dasar polisi dan inisiatif kerajaan kepada seluruh masyarakat terutamanya di negeri kita.
"Kita juga sedia maklum bahawa banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan ia perlu disampaikan kepada semua lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan UKAS Making Connection 2026: Bengkel Penulisan Berita, Artikel dan Siaran Media untuk Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di Kingwood Hotel, pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa UKAS merupakan satu unit yang amat penting di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Beliau turut berharap agar program ini memberi manfaat kepada peserta yang hadir.
Untuk makluman, program ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi pegawai kerajaan dalam merangka komunikasi bertulis yang strategik bagi tujuan perhubungan awam, khususnya dalam konteks dasar kerajaan, komunikasi krisis dan penglibatan media.
Selain itu, ia juga memastikan pegawai dapat menghasilkan siaran akhbar yang mencerminkan suara kerajaan, mengendalikan komunikasi awam semasa krisis, serta mengamalkan penulisan perniagaan yang berkesan dengan penggunaan istilah dan nada yang sesuai untuk pelbagai pihak berkepentingan.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali, Ketua Penolong Pengarah UKAS Anwar Hanafi Ardimansyah dan Ahmad Faizal Osman (Cikgu Emmet). - EDISI UKAS