PUSAKA Jadi Penanda Aras Integriti Sektor Awam Sarawak
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju integriti sektor awam apabila menerima lawatan penanda aras integriti daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Menurut kenyataan media PUSAKA pada Selasa, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada pegawai MUT berkaitan amalan terbaik PUSAKA dalam pengurusan integriti, governans serta pelaksanaan inisiatif antirasuah organisasi.
Lawatan berkenaan turut menampilkan perkongsian mendalam mengenai kejayaan PUSAKA dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) yang kini dijadikan rujukan dan penanda aras bagi memperkukuh sistem integriti di agensi kerajaan lain.
Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan MUT, Raduan Bujet, berkata lawatan itu merupakan satu inisiatif strategik kementerian bagi meningkatkan kefahaman dan keupayaan pegawai dalam melaksanakan prinsip AIGA secara berkesan.
“Perkongsian amalan terbaik PUSAKA diharapkan dapat memperkukuh tadbir urus serta membina sistem integriti organisasi yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PUSAKA, Suraya Mohamad Ali, menegaskan bahawa usaha memperkukuh integriti perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak bersifat sementara.
“Integriti bukan sekadar pencapaian, sebaliknya satu komitmen berterusan yang memerlukan penambahbaikan konsisten. Perkongsian pengetahuan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan organisasi, malah menyumbang kepada pembentukan budaya integriti kolektif dalam sektor awam,” ujarnya.
Melalui sesi perkongsian tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan dan pengalaman berkaitan pengukuhan budaya integriti, peningkatan kecekapan pengurusan serta pemantapan sistem kawalan dalaman organisasi selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh tadbir urus berintegriti.-EDISI UKAS