Kehamilan Awal Remaja: Antara Pendidikan, Stigma dan Masa Depan yang Terjejas
Kehamilan awal remaja (teenage pregnancy) merupakan fenomena global, yang berlaku ke atas perempuan di bawah usia 20 tahun. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat tahun 2019, jumlah kes kehamilan dalam kalangan remaja perempuan berusia 15 hingga 19 tahun, dianggarkan 12 juta setiap tahun berlaku dalam negara-negara yang diakronimkan dalam bahasa Inggeris sebagai LMICs (low- and middle-income countries), iaitu negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Lima puluh peratus daripada kehamilan itu dikategorikan sebagai kehamilan tanpa niat (unintended pregnancies) yang mengakibatkan 12 juta kelahiran bayi luar nikah.
Di Sarawak, gejala kehamilan awal remaja merupakan gejala yang cukup mencaknakan. Lebih 2,700 kes dilaporkan setiap tahun pada 2023 dan 2024.
Biarpun trend mutakhir menunjukkan penurunan jumlah kes, namun secara bandingan dengan neger-negeri lain dalam Malaysia, kadar kehamilan luar nikah di Sarawak mencatat 70.9 peratus pada Januari hingga September 2025, manakala bilangan remaja yang digugur persekolahan mereka akibat kehamilan mencecah 97.4 peratus.
Hakikat ini meletak kes-kes kehamilan awal remaja di Sarawak masih tinggi berbanding negeri-negeri lain dalam Malaysia. Rekod mencatatkan Bahagian Kapit berada pada tangga teratas, disusuli dengan Bahagian-bahagian Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu.
Faktor punca
Antara sebab berlakunya gejala yang cukup membimbangkan itu termasuklah isu-isu berkaitan masalah keluarga dan kemiskinan; dan akses terhad terhadap pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif. Ini mengakibatkan kurangnya pengetahuan mengenai pencegahan kehamilan.
Selain itu, pendedahan terhadap isi kandungan media sosial serta tekanan rakan sebaya juga memainkan peranan yang signifikan. Kehamilan awal remaja berlaku akibat pertumbuhan fisikal yang berlaku ke atas mereka yang meniti usia dari antara 13 sehingga 19 tahun.
Bermula dari bentuk fisikal, baik remaja lelaki mahupun remaja perempuan, mereka melalui perubahan dari pelbagai aspek seperti suara mereka yang mulai agak berbeza; kewujudan bulu kelamin; payudara bagi perempuan dan badan mulai berotot bagi lelaki; dan seumpamanya.
Kesemua perubahan ini mulai menimbulkan sensiviti terhadap jantina, dan mulai mencorakkan sentimen yang agak kompleks pada peringkat awalnya.
Stigma
Kehamilan yang berlaku pada usia masih terlalu muda sedemikian, sudah tentulah golongan remaja berdepan dengan kegetiran cabaran yang bukan kepalang untuk mereka tanggung secara bersendirian.
Stigma masyarakat sudah tentulah menghala kepada tindakan tidak bermoral; mereka mulai rasa malu yang amat mendalam; mengalami sisihan masyarakat; terpaksa menghentikan persekolahan mereka; dan kegawatan menghadapi masa depan yang terjejas.
Penganalisis sosial mendebati angka-angka dalam statistik berkenaan. Satu pihak menjelaskan sebenarnya angka-angka yang tinggi itu adalah kerana keluasan Bumi Kenyalang ini yang kebesarannya 124,450 kilometer persegi dengan populasi melebihi 2.8 juta.
Keluasan sedemikian hampir menyamai jumlah keluasan kesemua 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia yang, jika dijumlahkan ialah 134,769 kilometer persegi. Ini bermakna keluasan Sarawak adalah sama besarnya dengan jumlah kebesaran sembilan buah negeri di Semenanjung, tolak saiz Kedah dan Pulau Pinang.
Begitupun, pada satu pihak lagi menegaskan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan gejala kehamilan awal dibiarkan tanpa perancangan pembanterasan yang konkrit. Mereka mensasarkan indeks prestasi utama (KPI) agar tercapai pengurangan sekurang-kurangnya 10 peratus kes setiap tahun.
Pendidikan
Program pendidikan di bawah program yang dinamakan "Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS)" dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
Menteri yang bertanggungjawab Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah menegaskan kementeriannya amat serius dan giat memberi tumpuan untuk menangani isu hamil di kalangan remaja melalui Jawatankuasa Pusat Sehenti iaitu One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC).
Selain itu, badan-badan keagamaan yang diwujudkan khas di masjid-masjid, surau, gereja, kuil dan seumpamanya turut memfokuskan bimbingan-bimbingan untuk memberi panduan kepada golongan remaja agar terhindar dari terjerumus dalam kancah tidak bermoral, sambil pada masa yang sama memberi panduan betapa jalan lurus tetap ada dan upaya dipilih asalkan ada kesedaran dan iltizam untuk bertaubat.
Kesimpulan
Dalam aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah yang maju dan makmur sebagai Bumi Kenyalang yang berpendapatan tinggi menjelang 2030, maka hasrat, niat dan tekad semua peringkat masyarakat hendaklah menggemblengkan usaha yang senada dan sederap untuk membasmi semua bentuk gejala sosial yang boleh menghalang pencapaian impian murni secara mutlak.